Thursday, February 14, 2008

Swasta perlu bantu Ironman

Oleh Hamzah Osman
Berita Harian

SELAIN jabatan kerajaan, Kedah mahu pihak swasta turut membantu menjayakan edisi kesembilan Ironman Langkawi 2008 yang akan diadakan di Langkawi pada 23 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Kedah, Datuk Othman Aziz, berkata kerjasama itu penting bagi menentukan kejohanan itu berjalan lancar dan meninggalkan kenangan manis kepada peserta.

"Kami mahu semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta membabitkan diri menjayakan kejohanan ini kerana ia dapat mempromosikan secara meluas Malaysia dan Kedah khususnya selaku tuan rumah ke mata dunia," katanya.

Beliau berkata, sehingga ini hampir 807 peserta dari 36 negara termasuk 185 peserta tempatan sudah mengesahkan penyertaan untuk kejohanan itu.

"Amat membanggakan apabila jumlah atlit tempatan semakin meningkat, sekali gus menggambarkan semangat kental yang mereka miliki untuk menggempur acara sukan yang sering dikuasai atlit barat dan Jepun," katanya.

Antara peserta luar negara yang menyahut cabaran termasuk juara bertahan kategori lelaki, Xavier Le Floch dari Perancis dan Nicole Leder dari Jerman bagi kategori wanita.

Othman berkata, kerajaan Kedah sentiasa memberi perhatian menjayakan kejohanan itu dan sebuah jawatankuasa sudah dibentuk bagi memastikan kejohanan berjalan lancar.

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan AS$50,000 (RM190,000). Ia merangkumi acara renang sejauh 3.8 kilometer (km), lumba basikal 180.2km dan maraton 42.2km.

No comments: